IMG_6432.jpeg

MIRI, 1 Ogos – Projek pembangunan Kabuloh Precision Farming Park di Miri yang bakal menjadi mercu tanda pertanian pintar di wilayah utara Sarawak kini mencatat kemajuan kerja awal sebanyak 35 peratus, menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak dan mendengar taklimat kemajuan projek berkenaan di kawasan cadangan pembangunan di Lot 512, Blok 4, Daerah Tanah Sibuti, berdekatan Jalan Miri-Bintulu.

Dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM30 juta di bawah Development Expenditure (DE) DAPP P.29, projek ini dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Sarawak selaku agensi pemilik dan dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS).

Projek ini merangkumi pembinaan infrastruktur lengkap termasuk pejabat dan bilik IoT, pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil (CPPC) serta bilik sejuk, rain protection shelter (SPH), stor MyGAP, stor racun, rumah pam air, sub-stesen Sesco, dan pelbagai kemudahan sokongan lain.

Reka bentuk telah disediakan oleh F. Wee Architect bersama pasukan perunding teknikal yang terdiri daripada jurutera sivil, mekanikal, elektrikal dan juruukur bahan.

Setakat ini, pelaksanaan Fasa 1 merangkumi kerja tanah, pembinaan saliran konkrit bertetulang serta penyediaan awal tapak telah menunjukkan kemajuan fizikal 35 peratus.

Dr Rundi menegaskan kepentingan projek ini sebagai pemangkin pembangunan pertanian moden yang selari dengan hasrat Sarawak menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030.

“Dengan kemudahan moden seperti CPPC, sistem pertanian berasaskan IoT serta perlindungan tanaman dari hujan, kawasan ini akan menjadi hab pertanian moden yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan hasil pertanian, malah berupaya memenuhi piawaian eksport,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan dan sesi taklimat ialah Timbalan Setiausaha Tetap M-FICORD Sayed Ismaill Nasiruddin, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Pengurus Besar PPNS Gom Raway, pasukan perunding projek serta kontraktor utama. Sesi turut disusuli pembentangan pelan pengeluaran oleh Peladang Sagrow, salah satu entiti yang dijangka menjadi pengusaha utama dalam fasa pengeluaran kelak.

Projek ini dilihat sebagai antara inisiatif berimpak tinggi untuk memperkukuh rantaian nilai sektor agromakanan di zon utara Sarawak, khususnya di Miri dan kawasan sekitarnya. - N69newsflash™


N69newsflash™

#JagaSarawak #intuSarawak #MFICORD

Instagram : www.instagram.com/stephen.rundi

Tiktok: www.tiktok.com/@stephen.rundi