
BATU NIAH, 2 Ogos – Subis Agrofest 2025 yang julung kali diadakan dalam usaha memperkasa sektor pertanian luar bandar apabila berjaya menarik hampir 3,000 pengunjung seawal hari pertama penganjuran yang berlangsung di Dewan Masyarakat Batu Niah, berbanding sasaran sebanyak 5,000 orang dalam masa tiga hari.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom yang menyifatkan program seumpama ini sebagai pemangkin kepada transformasi sektor pertanian tempatan.
“Penganjuran Agrofest ini bukan sahaja memperkenal inisiatif serta peranan pelbagai agensi, malah ia menjadi ruang penting untuk belia dan komuniti tani mendalami teknologi moden serta potensi pasaran baharu dalam bidang agromakanan,” katanya ketika menyampaikan ucapan.
Subis Agrofest 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Bahagian Miri bersama Pejabat Daerah Subis menyasarkan jumlah nilai jualan melebihi RM200,000 sepanjang tiga hari berlangsung kelak, selain membuka peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka secara langsung.
Sebanyak 20 agensi mengambil bahagian dalam pameran kali ini, termasuk Sarawak Land Consolidation and Rehabilitation Authority (SALCRA), Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), Malaysian Palm Oil Board (MPOB), serta beberapa syarikat swasta berkaitan dron dan automasi pertanian.
Majlis turut diserikan dengan penyerahan sijil lantikan lanjutan dan baharu kepada tiga tuai rumah iaitu Tuai Rumah Sigan anak Inai, Tuai Rumah Steve anak Lasan dan Tuai Rumah Languyan anak Ringai.
Dengan penganjuran yang teratur dan sokongan pelbagai pihak, Subis Agrofest 2025 dijangka memberi impak besar kepada pembangunan komuniti luar bandar serta menyokong sasaran Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan tahap sara diri makanan negeri menjelang 2030.
Hadir sama Timbalan Menteri M-FICORD Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Ismail, Timbalan Setiausaha Tetap M-FICORD Sayed Ismail Nasiruddin bin Dato' Sri Wan Hashim, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Pegawai Daerah Subis Norlila binti Haji Ulis serta pegawai-pegawai dari pelbagai jabatan Kerajaan berkaitan yang lain. - N69newsflash™
N69newsflash™
#JagaSarawak #intuSarawak #MFICORD
Instagram : www.instagram.com/stephen.rundi
Tiktok: www.tiktok.com/@stephen.rundi